Saturday, January 3, 2009

Alam Persekolahan


MENGIMBAS kembali hari pertama persekolahan pada 20 tahun yang lepas, pasti tergambar fenomena ibu bapa menunggu anak-anak. Ada yang menunggu sehari malah melarat ke seminggu. Lebih parah mencecah sebulan kerana anak-anak yang tidak mahu ditinggalkan. Ada sesetengah kanak-kanak yang balik lari dari sekolah dan yang lebih memilukan guru kelas ialah terdapat juga kanak-kanak yang berak dalam seluar semasa berada dalam kelas.

Tahun berganti abad, kanak-kanak kini lebih berdikari dan tidak mengharapkan ibu bapa menemani sehingga habis kelas. Pengalaman kedua menghantar anak ke sekolah pada hari pertama sudah tidak kedengaran dan ternampak kanak-kanak yang menangis dan meronta-ronta tangan ibu atau bapa untuk pulang ke rumah.

Pengalaman di sekolah tadika barangkali cukup untuk mengajar mereka lebih bersedia melalui pengalaman baru. Pun begitu, peranan ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak dari segi fizikal, emosi, jasmani, rohani dan intelektual tetap penting.

Bagai membina sebuah rumah, asas yang kukuh pasti menghasilkan binaan yang kuat - begitu juga permulaan di alam persekolahan. Semuanya harus positif termasuk persekitaran, ibu-bapa, gurunya dan masyarakat amnya. Selamat Menempuh Alam Persekolahan 2009., semoga ianya menjanjikan kejayaan yang cemerlang.