Wednesday, September 30, 2009

Batu Asas


Selepas selesai menunaikan ibadat puasa dan menyambut 1 Syawal maka JH telah meletakkan batu asas bagi pembinaan sebuah rumah idaman sementara berada di dunia yang fana ini. Program dimulai dengan bacaan tahlil dan doa selamat oleh ayah mentua JH. Antara yang terlibat adalah kedua-dua orang tua yang memberi restu pembinaan serta beberapa orang tukang rumah yang akan terlibat dalam menjayakan teratak JH.JH telah memilih bekas tapak kediaman nenek JH yang telah kembali ke rahmatullah pada Jun 1997 yang lalu. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan ditempat orang yang soleh dan beriman,insyaAllah. Panggilan "Cik Din" akan sentiasa kekal dalam ingatan JH sehingga akhir hayat.Al Fatihah.

Thursday, September 17, 2009

Salam Akhir Ramadhan

Bulan ramadan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati "tawaran bonus setahun sekali" yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasulnya di bulan ramadan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Namun begitu, bagi insan yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan agung ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan roh dan matlamat bulan ramadan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat dipermulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan "exam" ramadannya yang mendapat keputusan "feel" dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibril untuk mendapat "kebinasaan" iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya Nauzubillah...,

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenalpasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya. "waste of time"! katanya.

Padahal di bulan ramadan yang juga digelar bulan Al Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al Quran yang fungsinya adalah sebagai Al Furqan (pemisah antara yang benar dan yang salah). Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al Quran dan Al Hadith dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadan ini.

Sama-samalah kita meningkatkan amalan dan memohon agar Allah SWT akan menerima amalan kita sebelum ini.Amin...,

Sunday, September 6, 2009

Petua Lailatul Qadar

Sebagaimana pesan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.- Adalah malam qadar itu berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan ramadhan.

Manakala petua Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk mencari malam Lailatul-Qadar adalah seperti berikut:

Jika awal ramadhan jatuh pada hari :

1- Ahad atau Rabu = malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan

2- Isnin = malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan

3- Selasa atau Jumaat = malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan

4- Khamis = malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan

5- Sabtu = malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan


Berkata Sheikh Abu Hassan bahawa sejak dia mula baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Maka dengan itu, insyaAllah malam qadar pada tahun ini akan jatuh pada malam ke 23 ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 12 September 2009. Walaubagaimanapun adalah diingatkan bahawa, janganlah beribadat pada malam itu sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Tanda-tanda malam qadar ialah :

a- malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas
b- pada siangnya cahaya matahari warnanya pucat
c- pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba


*Marilah kita bersama-sama memeriahkan lagi suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada Allah S.W.T. dengan ikhlas dan penuh keimanan. Mudah-mudahan kita dapat kurniaan Allah yang kelebihan pahalanya melebihi 1000 bulan atau 83 tahun umur kita lebih kurang*. Takbir!!

Tuesday, August 18, 2009

Penghargaan Mprinc 2008/2009




Segala pujian bagi Allah S.W.T kerana dengan kasih sayangnya dan rahmatnya telah memberi kekuatan dan keupayaan untuk menyiapkan kajian ini. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasullullah S.A.W yang menjadi penyuluh kehidupan manusia sehingga ke akhir zaman.

Ucapan penghargaan yang setingginya saya tujukan kepada penyelia saya, Dr. Chua Yan Piaw yang telah banyak memberi tunjuk ajar sehingga siapnya kertas projek ini. Penghargaan juga ditujukan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah membiayai pengajian saya selama berada di Institut Aminuddin Baki dan Universiti Malaya. Disamping itu,semua pensyarah Institut Pengajian Kepengetuaan, Universiti Malaya yang telah memberi tunjuk ajar, kesempatan dan kemudahan dalam menjalani bidang kepemimpinan pendidikan ini. Tidak lupa juga semua rakan-rakan kohort 9 khasnya Azhan, shaharin dan Azhar yang menyimpan suka duka bersama sepanjang pengajian.


Akhir sekali, rasa terharu dan penghargaan diberikan kepada isteri tersayang, Puan Najmiah binti Abd. Razak serta anak-anak, Aisha Nadhira, Aisha Syafika dan Aisha Shahira atas pengertian, kesabaran dan pengorbanan yang telah diberikan.

Semoga kajian ini akan memberi manfaat yang besar demi mempertingkatkan kecemerlangan generasi masa depan. Mudah-mudahan juga usaha kecil ini akan mendapat ganjaran besar daripada Allah S.W.T

Saturday, August 15, 2009

Notis Penutupan Sementara


Pada 13 Ogos, warga SMKADG telah dikejutkan dengan penerimaan surat cadangan penutupan sementara sekolah dari Pejabat Kesihatan Daerah Marang. Hal ini terjadi kerana pihak Jabatan Kesihatan telah dapat mengesan 9 orang pelajar yang didapati mempunyai tanda-tanda gejala Influenza Like Ilness (ILI) yang telah diklasifikasi sebagai wabak di sekolah bertuah ini.
Sehubungan dengan itu, bagi membendung penularan penyakit tersebut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Pegawai Kesihatan Daerah Marang telah menasihatkan (strongly advised) agar pihak sekolah mengambil tindakan penutupan sementara bermula 13 hingga 20 Ogos 2009 dan meminta semua pelajar serta kakitangan yang terlibat supaya pulang ke rumah dan menjalani "Home Quarantine", seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan daripada rebakan kepada keluarga masing-masing sebagaimana yang dinasihatkan oleh Jabatan Kesihatan.
Apabila pengumuman dibuat kepada warga sekolah,terdapat reaksi yang pelbagai dikalangan warganya-ada yang gembira, cemas, kecewa dan sebagainya. Namun kepada yang gembira, walaupun cuti sebenarnya kita dalam keadaan darurat. Bila-bila masa sahaja jangkitan boleh merebak dan menemui kematian-Nauzubillah!

Thursday, August 13, 2009

My Convocation -UM 2009


Tanggal 11 Ogos 2009, JH telah dianugerahkan Master Of Principal oleh Universiti Tertua di Malaysia - University Of Malaya. Segala penat lelah JH akhirnya berbaloi apabila dapat menggengam erat sekeping Ijazah Tinggi setelah berusaha selama 2 tahun (setahun di Institut Aminuddin Baki dan setahun di Universiti Malaya). Majlis penganugerahan itu telah disempurnakan oleh DYTM Raja Dr Nazrin (Raja Muda Perak). Majlis berjalan lancar dan dikesempatan majlis konvokesyen tersebut JH dapat bertemu rakan-rakan kohort 9 seramai 26 orang semuanya. Alhamdulillah semuanya berjaya setelah berusaha bertungkus lumus selama 2 tahun yang lalu.


Persoalannya sekarang bagaimana mahu memberi sumbangan kepada anak bangsa bagi membalas jasa pihak Kementerian Pelajaran yang telah membiayai pengajian sepenuhnya selama 2 tahun yang melibatkan ratusan ribu duit rakyat. Mudahan Allah memberi kekuatan kepada JH untuk melaksanakan amanah berkenaan sebaik yang mungkin.

Saturday, August 8, 2009

Kehebatan Kuda


Kuda merupakan antara binatang yang masyhur dalam kalangan masyarakat bandar Kuala Terengganu. Boleh dikatakan setiap hari penduduk di sina akan dapat melihat kuda di mana-mana sahaja. Kuda boleh dilihat berlari megah di jalanraya, di pantai dan di kawasan perkampungan. Paling menarik sekali apabila dapat melihat DYMM YDA Sultan Mizan akan berkuda di pantai Batu Buruk apabila baginda ada kelapangan. Sememangnya kuda merupakan binatang yang hebat, ini terbukti apabila Allah S.W.T bersumpah atas nama kuda :

“Aku bersumpah demi kuda-kuda perang yang berlari cepat sehingga nafasnya yang tercungap-cungap itu terdengar. Kuda yang mengeluarkan percikan api ketika menyentuh bumi dan ketika hendak berjalan. Kuda yang menyerang musuh sebelum matahari terbit. Kuda-kuda itu menerbangkan debu yang tebal di tempat-tempat musuh lalu menjadikan debu itu berada di tengah- tengah kumpulan musuh sehingga mereka merasa takut dan was-was. Sesungguhnya manusia sangat ingkar terhadap nikmat Tuhan yang tak terbilang. Di akhirat kelak ia akan menjadi saksi atas dirinya dan akan mengakui segala dosanya. Dan karena kecintaannya pada harta, manusia menjadi kikir sehingga tidak melaksanakan apa yang seharusnya dilakukan berkenaan dengan harta itu.Apakah ia tidak mengetahui balasan dari perbuatannya itu, sehingga tidak tahu bahawa ketika seluruh jasad dibangkitkan dari kubur dan apa yang ada di dalam dada yang telah tercatat dalam daftar perbuatan mereka, yang baik mahupun yang buruk itu dikumpulkan? Sesungguhnya Tuhan Pemelihara dan Pencipta mereka benar-benar Maha Mengetahui segala perbuatan dan pembalasan mereka pada hari kebangkitan dan perhitungan.” Takbir!!!