Tuesday, November 3, 2009

KUDAP SMKA Durian Guling



Pihak kerajaan telah memperkenalkan dasar latihan sumber manusia sektor awam yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2005. Matlamat dasar latihan ini adalah untuk pembangunan sumber manusia sejajar dengan kehendak yang terkandung dalam dasar wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan cemerlang menjelang tahun 2020.

Bagi menyahut saranan ini, maka pihak sekolah SMKA Durian Guling telah mengadakan kursus KUDAP di Mid Town Hotel, Kuala Terengganu pada 31 Oktober 2009(Sabtu). Tajuk-tajuk yang dibincangkan adalah Pengurusan Aset Alih Kerajaan dan Menangani Stres. Kursus ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 2.00 petang. Kursus ini diharapkan dapat merapatkan perhubungan antara guru serta staf sokongan dalam usaha membina pasukan kerja yang berkesan.

Saturday, October 17, 2009

Gengsterisme

Biasanya di sekolah-sekolah yang bukan pilihan utama selalunya terjebak dengan masalah gengsterisme. Ini bukanlah bermakna sekolah-sekolah pilihan sifar dengan masalah gengsterisme, namun ianya taklah ketara sangat.Ancaman gengsterisme memang menggemparkan. Mengapakah setelah 50 tahun negara ini merdeka, masih wujud kegiatan jenayah seteruk ini? Adakah kerana kurangnya ilmu pengetahuan? Adakah kerana sifat amarah , ego dan memberontak yang melampau.

Kemungkinan jenayah gengsterisme ini wujud akibat terlalubanyak "masalah"dalam diri seseorang atau tidak kurang juga yang mahu menunjuk kekuasaan. Jenayah gengsterisme ini menunjukkan mentaliti dan moral mereka yang terlibat masih berada pada tahap yang menyedihkan. Hanya kerana terlalu ghairah mengejar kemewahan dan kekuasaan , mereka sanggup mengetepikan segala sifat kemanusiaan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak yang terlibat untuk membentreras jenayah gengsterisme ini tetapi masih belum berkesan.Lebih parah lagi, pengaruh gengsterisme sekarang mula menular dalam kalangan pelajar sekolah. Maka, sebelum terlambat, tindakan yang drastik dan menyeluruh perlu segera dilaksanakan.Bagaimana dengan gejala ini di sekolah anda?

Monday, October 12, 2009

Satu Malaysia

Konsep satu Malaysia merupakan suatu konsep yang bagus untuk diamalkan.Kita satu dan serupa.Satu negara. Semua dapat hak yang sepatutnya, tetapi hak yang dilindungi oleh perlembagaan negara. Apabila pemimpin nombor satu memulakan konsep satu Malaysia, maknanya kita kena lihat dari kaca mata yang lain. Kita tidak boleh lagi hidup dalam tempurung kaum lagi. Kita kena lihat diri kita sebagai satu rupa bangsa yang besar.. Namun ianya bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai. Dari kecil lagi anak-anak kita pergi ke tadika dan sekolah yang berbeza. Mereka tidak banyak mempunyai peluang berinteraksi antara satu sama lain. Mereka juga mengamalkan budaya dan agama yang berbeza.

Itulah uniknya Malaysia.Kepelbagaian itu merupakan suatu kekuatan kepada kita.Namun kepelbagaian dan kelainan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada kita juga.Kalau kita tidak berhati-hati maka masyarakat akan makin menjauh antara satu sama lain. Masing-masing cuma menjaga kepentingan masing-masing, nilai bersama tak wujud. Sebaliknya mengelakkan fahaman yang sempit dan cauvinis.Jika konsep ini dapat diaplikasikan dengan betul maka negara kita akan muncul sebuah negara yang makmur dan berkesan.

Friday, October 2, 2009

Supervision


Pada minggu lepas SMKADG telah didatangi beberapa orang Nazir yang ingin mencerap ke atas guru-guru yang memohon untuk mendapat title "Guru Cemerlang". Berdasarkan maklumat yang didapati, pihak Nazir hanya datang sekali sahaja untuk mencerap guru-guru berkenaan. Wah! seronoknya, kalau PnP menjadi pada waktu berkenaan maka guru berkenaan akan mengalami kenaikan gred dan gaji yang amat tinggi. Betapa mudahnya kriteria pemilihan Guru Cemerlang sekarang ini. Sememangnya mengajar merupakan suatu bentuk seni. Banyak orang yang mampu mengajar tetapi bukan semua orang dapat mengajar dengan baik, menarik dan berkesan. Pengajar yang berkesan adalah pengajar yang mampu membuka peluang pembelajaran dalam diri pelajar secara ceria dan santai.

Sehubungan dengan itu antara perkara yang dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan dalam proses PnP ialah melalui penerapan unsur humor. Penggunaan unsur humor menjadikan PnP lebih menyeronokkan kerana humor mempengaruhi ingatan dan kecerdasan emosi.

Mudah-mudahan guru-guru yang mendapat title 'Guru Cemerlang" akan lebih hebat mengajar dan komitmen kepada sekolah berdasarkan hirarki gred yang tinggi daripada gred guru-guru biasa yang hanya menunggu masa untuk berpencen dengan selamat.

Wednesday, September 30, 2009

Batu Asas


Selepas selesai menunaikan ibadat puasa dan menyambut 1 Syawal maka JH telah meletakkan batu asas bagi pembinaan sebuah rumah idaman sementara berada di dunia yang fana ini. Program dimulai dengan bacaan tahlil dan doa selamat oleh ayah mentua JH. Antara yang terlibat adalah kedua-dua orang tua yang memberi restu pembinaan serta beberapa orang tukang rumah yang akan terlibat dalam menjayakan teratak JH.JH telah memilih bekas tapak kediaman nenek JH yang telah kembali ke rahmatullah pada Jun 1997 yang lalu. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan ditempat orang yang soleh dan beriman,insyaAllah. Panggilan "Cik Din" akan sentiasa kekal dalam ingatan JH sehingga akhir hayat.Al Fatihah.

Thursday, September 17, 2009

Salam Akhir Ramadhan

Bulan ramadan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati "tawaran bonus setahun sekali" yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasulnya di bulan ramadan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Namun begitu, bagi insan yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan agung ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan roh dan matlamat bulan ramadan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat dipermulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan "exam" ramadannya yang mendapat keputusan "feel" dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibril untuk mendapat "kebinasaan" iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya Nauzubillah...,

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenalpasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya. "waste of time"! katanya.

Padahal di bulan ramadan yang juga digelar bulan Al Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al Quran yang fungsinya adalah sebagai Al Furqan (pemisah antara yang benar dan yang salah). Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al Quran dan Al Hadith dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadan ini.

Sama-samalah kita meningkatkan amalan dan memohon agar Allah SWT akan menerima amalan kita sebelum ini.Amin...,

Sunday, September 6, 2009

Petua Lailatul Qadar

Sebagaimana pesan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.- Adalah malam qadar itu berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan ramadhan.

Manakala petua Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk mencari malam Lailatul-Qadar adalah seperti berikut:

Jika awal ramadhan jatuh pada hari :

1- Ahad atau Rabu = malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan

2- Isnin = malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan

3- Selasa atau Jumaat = malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan

4- Khamis = malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan

5- Sabtu = malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan


Berkata Sheikh Abu Hassan bahawa sejak dia mula baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Maka dengan itu, insyaAllah malam qadar pada tahun ini akan jatuh pada malam ke 23 ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 12 September 2009. Walaubagaimanapun adalah diingatkan bahawa, janganlah beribadat pada malam itu sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Tanda-tanda malam qadar ialah :

a- malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas
b- pada siangnya cahaya matahari warnanya pucat
c- pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba


*Marilah kita bersama-sama memeriahkan lagi suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada Allah S.W.T. dengan ikhlas dan penuh keimanan. Mudah-mudahan kita dapat kurniaan Allah yang kelebihan pahalanya melebihi 1000 bulan atau 83 tahun umur kita lebih kurang*. Takbir!!