Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Idiladha


Salam idiladha diucapkan kepada semua rakan dan pengunjung blog ini yang beragama Islam. Mudah-mudahan kedatangan Idiladha kali ini akan dapat membuahkan pengorbanan yang suci dari hati kita dalam mendaulatkan Islam dalam kehidupan seharian kita. Sesungguhnya semangat pengorbanan yang tinggi akan dapat membuahkan kejayaan yang tak ternilai akhirnya. Selamat menyambut Idiladha!

Thursday, November 19, 2009

Hari Anugerah SK Seri Budiman


Apabila tiba akhir tahun maka setiap sekolah sudah semestinya akan mengadakan suatu hari untuk memberi pengiktirafan kepada staf(Hari Q) dan juga kepada murid. SK Seri Budiman telah mengadakan Hari Anugerah kepada pelajar-pelajarnya yang cemerlang pada 17 November 2009. Hari Anugerah ini diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang pada tahun 2009. Alhamdulillah Aisha Nadhira Arman dan Aisha Syafika Arman turut terpilih dalam kategori "top ten" sekolah. Pengiktirafan ini diharap agar para murid dapat meneruskan kecemerlangan dan akhirnya dapat menaikkan nama sekolah dalam peperiksaan UPSR.

Mudah-mudahan permataku ini akan terus mendapat kecemerlangan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. InsyaAllah!

Wednesday, November 11, 2009

Jamuan Akhir Tahun


Kelab Rantaian Kasih SMKADG telah mengadakan satu jamuan akhir tahun bertempat di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di pulau duyung pada 10 November 2009. Semua guru dan Staf dijemput hadir. Antara acara menarik ialah acara cabutan bertuah.Disamping itu juga terdapat guru-guru yang begitu gembira sekali datang kerana dapat beberapa hadiah sempena pertukaran mereka. Walau bagaimanapun terdapat juga guru yang hiba dan pilu kerana permohonan mereka dibakul sampahkan oleh pihak atasan yang berkepentingan. Rakan-rakan yang tak dapat bertukar maka kuhadiahkan satu sajak untuk tatapan kalian dalam menelusuri liku-liku dunia pendidikan.

Seorang Guru Tua
Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar ushawan berjaya

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tiada kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggengamnya
tanggungjawab yang diamanahkan

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa!

GUNAWAN MAHMOOD.

Tuesday, November 3, 2009

KUDAP SMKA Durian Guling



Pihak kerajaan telah memperkenalkan dasar latihan sumber manusia sektor awam yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2005. Matlamat dasar latihan ini adalah untuk pembangunan sumber manusia sejajar dengan kehendak yang terkandung dalam dasar wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan cemerlang menjelang tahun 2020.

Bagi menyahut saranan ini, maka pihak sekolah SMKA Durian Guling telah mengadakan kursus KUDAP di Mid Town Hotel, Kuala Terengganu pada 31 Oktober 2009(Sabtu). Tajuk-tajuk yang dibincangkan adalah Pengurusan Aset Alih Kerajaan dan Menangani Stres. Kursus ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 2.00 petang. Kursus ini diharapkan dapat merapatkan perhubungan antara guru serta staf sokongan dalam usaha membina pasukan kerja yang berkesan.

Saturday, October 17, 2009

Gengsterisme

Biasanya di sekolah-sekolah yang bukan pilihan utama selalunya terjebak dengan masalah gengsterisme. Ini bukanlah bermakna sekolah-sekolah pilihan sifar dengan masalah gengsterisme, namun ianya taklah ketara sangat.Ancaman gengsterisme memang menggemparkan. Mengapakah setelah 50 tahun negara ini merdeka, masih wujud kegiatan jenayah seteruk ini? Adakah kerana kurangnya ilmu pengetahuan? Adakah kerana sifat amarah , ego dan memberontak yang melampau.

Kemungkinan jenayah gengsterisme ini wujud akibat terlalubanyak "masalah"dalam diri seseorang atau tidak kurang juga yang mahu menunjuk kekuasaan. Jenayah gengsterisme ini menunjukkan mentaliti dan moral mereka yang terlibat masih berada pada tahap yang menyedihkan. Hanya kerana terlalu ghairah mengejar kemewahan dan kekuasaan , mereka sanggup mengetepikan segala sifat kemanusiaan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak yang terlibat untuk membentreras jenayah gengsterisme ini tetapi masih belum berkesan.Lebih parah lagi, pengaruh gengsterisme sekarang mula menular dalam kalangan pelajar sekolah. Maka, sebelum terlambat, tindakan yang drastik dan menyeluruh perlu segera dilaksanakan.Bagaimana dengan gejala ini di sekolah anda?

Monday, October 12, 2009

Satu Malaysia

Konsep satu Malaysia merupakan suatu konsep yang bagus untuk diamalkan.Kita satu dan serupa.Satu negara. Semua dapat hak yang sepatutnya, tetapi hak yang dilindungi oleh perlembagaan negara. Apabila pemimpin nombor satu memulakan konsep satu Malaysia, maknanya kita kena lihat dari kaca mata yang lain. Kita tidak boleh lagi hidup dalam tempurung kaum lagi. Kita kena lihat diri kita sebagai satu rupa bangsa yang besar.. Namun ianya bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai. Dari kecil lagi anak-anak kita pergi ke tadika dan sekolah yang berbeza. Mereka tidak banyak mempunyai peluang berinteraksi antara satu sama lain. Mereka juga mengamalkan budaya dan agama yang berbeza.

Itulah uniknya Malaysia.Kepelbagaian itu merupakan suatu kekuatan kepada kita.Namun kepelbagaian dan kelainan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada kita juga.Kalau kita tidak berhati-hati maka masyarakat akan makin menjauh antara satu sama lain. Masing-masing cuma menjaga kepentingan masing-masing, nilai bersama tak wujud. Sebaliknya mengelakkan fahaman yang sempit dan cauvinis.Jika konsep ini dapat diaplikasikan dengan betul maka negara kita akan muncul sebuah negara yang makmur dan berkesan.

Friday, October 2, 2009

Supervision


Pada minggu lepas SMKADG telah didatangi beberapa orang Nazir yang ingin mencerap ke atas guru-guru yang memohon untuk mendapat title "Guru Cemerlang". Berdasarkan maklumat yang didapati, pihak Nazir hanya datang sekali sahaja untuk mencerap guru-guru berkenaan. Wah! seronoknya, kalau PnP menjadi pada waktu berkenaan maka guru berkenaan akan mengalami kenaikan gred dan gaji yang amat tinggi. Betapa mudahnya kriteria pemilihan Guru Cemerlang sekarang ini. Sememangnya mengajar merupakan suatu bentuk seni. Banyak orang yang mampu mengajar tetapi bukan semua orang dapat mengajar dengan baik, menarik dan berkesan. Pengajar yang berkesan adalah pengajar yang mampu membuka peluang pembelajaran dalam diri pelajar secara ceria dan santai.

Sehubungan dengan itu antara perkara yang dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan dalam proses PnP ialah melalui penerapan unsur humor. Penggunaan unsur humor menjadikan PnP lebih menyeronokkan kerana humor mempengaruhi ingatan dan kecerdasan emosi.

Mudah-mudahan guru-guru yang mendapat title 'Guru Cemerlang" akan lebih hebat mengajar dan komitmen kepada sekolah berdasarkan hirarki gred yang tinggi daripada gred guru-guru biasa yang hanya menunggu masa untuk berpencen dengan selamat.