Jika kopitiam tiada sijil halal, kenapa perlu paksa?
MENGAPA kita perlu risau sekiranya pengusaha kopitiam tidak ingin memohon sijil halal Jakim.
Bagi saya itu adalah hak mereka sama ada untuk memohon atau tidak. Mereka mungkin tidak menyasarkan atau mengharapkan pelanggan Islam, buat apa kita beria-ia nak ke sana?
Mungkin juga mereka menyediakan makanan tidak halal. Jadi apa perlunya bagi mereka mendapatkan sijil halal? Seperti mana kedai makanan Cina adakah kita perlu memaksa mereka untuk mendapatkan sijil halal?
Tidak perlulah bagi umat Islam pergi menjamu selera di situ. Adalah amat memalukan jika kita mendesak mereka mendapatkan sijil halal.
Adakah ia satu keperluan yang mendesak untuk kita ke kopitiam? Banyak lagi kedai makanan Islam yang ada yang kita tak perlu risau dan ragu.
Atau adakah dengan tidak dapat ke kopitiam kita akan mati kelaparan? Masalah kopitiam ini adalah masalah orang Melayu elit.
Dalam keghairahan kita memberi sijil halal kepada pengusaha makanan bukan Islam secara tidak langsung, kita telah memberi saingan kepada pengusaha Islam untuk berniaga.
Adakah tidak cukup makanan keluaran orang Islam di pasaran sehinggakan kita terpaksa memaksa pengeluar bukan Islam membuat dan menyediakan makanan untuk kita dan memaksa mereka untuk mendapatkan sijil halal?
Adakah orang Islam tidak mampu menyediakan makanan untuk orang Islam sendiri?
Jakim juga tidak perlu berlembut dan tunduk kepada desakan pengusaha-pengusaha kopitiam ini yang mengatakan syarat Jakim terlalu ketat.
Sekiranya susah untuk memohon mereka tidaklah perlu memohon dan orang Islam tak perlulah makan minum di situ.Juga janganlah pamerkan sijil halal palsu
16 Mac 2024 Medina Day 76
8 months ago