Tuesday, September 14, 2010

Beri kuasa polis bebankan guru – NUTP

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Saranan agar guru disiplin diberi kuasa polis
tambahan tidak akan mampu membendung masalah disiplin pelajar di sekolah
sebaliknya memberi bebanan baru kepada guru terlibat.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim
Adnan berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar menyelesaikan masalah
disiplin pelajar.
Menurutnya, malah mereka perlu mendidik dan berperanan sebagai ibu bapa
dengan menasihati serta membimbing pelajar agar menjadi manusia berguna.
"Tanggungjawab yang dipikul oleh guru-guru pada hari ini amat berat dan tidak
wajar sekiranya mereka terpaksa menggalas tanggungjawab baru pula iaitu polis
tambahan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.
"Kita tidak mahu nanti tugas guru yang lebih penting iaitu mengajar terpaksa
dikesampingkan akibat memikul tanggungjawab lain. Ibarat yang dikejar tak
dapat yang dikendong berciciran pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas saranan Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam
Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen yang menggesa kerajaan
mengkaji pemberian kuasa polis tambahan kepada guru disiplin bagi
menghindari pengaruh samseng di sekolah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina
berkata, saranan tersebut tidak mampu mengubah sikap pelajar yang tidak
berdisiplin menjadi lebih baik malah ia menyebabkan pelajar tidak menyenangi
guru mereka.
"Sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak mampu dilaksanakan
dengan baik jika saranan itu diwujudkan kerana pelajar akan kurang
menghormati tetapi berasa takut terhadap guru-guru mereka.
"Tidak sepatutnya tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar
diletakkan di bahu guru sahaja. Seharusnya semua pihak iaitu pengetua, guru,
pelajar, ibu bapa dan masyarakat bekerja sebagai satu pasukan bagi menangani
masalah tersebut," katanya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional
(PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan pula mengalu-alukan
saranan tersebut dan mencadangkan diwujudkan jawatan baru bagi menangani
masalah disiplin pelajar.
"Perlu diwujudkan satu jawatan baru iaitu penolong kanan disiplin bagi
menyelaras dan memantau hal-hal berkaitan disiplin pelajar serta guru-guru di
bawah penyeliaan guru besar atau pengetua.
"Perlindungan undang-undang juga wajar disalurkan kepada guru-guru ini bagi
mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi seperti dicederakan atau
disaman," katanya.
Tambahnya, sebelum membenarkan mereka menjalankan tugas dalam
membendung masalah disiplin pelajar, guru-guru tersebut perlu diberikan latihan
dan penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

1 comment:

Yati Wahab said...

biar cikgu jalankan tugas mengajar urusan disiplin harus dijalankan oleh guru disiplin yang dicadangkan diberi tugas sepenuh masa seperti kaunselor.

buat masa sekarang tak boleh tambah perjawatan.

kita lihat apa resos yang boleh dibuat.

kalau ada PK Disiplin, PK HEM nak kerja apa?