Saturday, January 30, 2010

Fasa Pembinaan Peringkat Ketiga



Teratak JH masih dalam pembinaan. Hampir 60% telah disiapkan dan mengikut Ketua Tukang, kemungkinan dalam masa 3 bulan lagi teratak ini akan siap untuk fasa ketiga. Fasa keempat kemungkinan dalam masa 2 bulan selepas tamat fasa ketiga.Tahniah kepada rakan-rakan yang telah memiliki kediaman sendiri.

Tuesday, January 26, 2010

Warna -Warni Larian Wawasan

Tanggal 21 Januari SMKADG telah mengadakan larian merentas desa bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk beriadah dan berseronok setelah hampir sebulan mereka melaksanakan aktiviti berbentuk akademik semata-mata. Disamping itu juga aktiviti ini juga dapat menyeimbangkan potensi pelajar dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

pelajar-pelajar puteri sedang menunggu pemenang-pemenang

Antara jaguh yang dikenalpasti

Kadet Polis sedang mengawal lalu-lintas

cepat!cepat! ke garisan penamat

Selamat sampai ke garisan penamat



Hasil daripada penganjuran acara larian wawasan ini, dapat mengeratkan lagi hubungan guru dengan warga sekolah dalam penganjuran sesuatu acara sekolah. Pihak PDRM juga turut hadir membantu, dengan ini hubungan dengan agensi komuniti dapat dipereratkan lagi. Perkara yang paling penting sekali dalam penganjuran program ini adalah dapat melatih pelajar-pelajar semangat berjuang serta mematuhi peraturan untuk mengapai sebuah kejayaan. Syabas kepada pelajar-pelajar yang menang serta warga SMKADG yang bersatu hati dalam menjayakan program ini.

Wednesday, January 20, 2010

Program NILAM SMKA Durian Guling


Kempen Membaca telah dilaksanakan secara sambutan Bulan Membaca Kebangsaan bermula dari tahun 1995 hingga 2005. Pelbagai aktiviti dan program berkaitan pembacaan telah dilaksanakan sepanjang bulan Ogos bagi tahun 1995 hingga 2000 dan Julai 2001 hingga 2005. Kempen Membaca telah dijadikan sebagai agenda tahunan bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu dan bermaklumat dengan menjadikan amalan membaca sebagai budaya.
Mulai tahun 2006, di bawah teraju Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kempen ini telah diperhebatkan dengan mengadakan program dan aktiviti sepanjang tahun bagi memberi impak yang lebih efektif. Pelbagai institusi telah terlibat di dalam menjayakan program dan aktiviti berkaitan pembacaan dan galakan membaca. Ia bukan sahaja dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia tetapi juga Perpustakaan Awam Negeri, Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan dan Swasta serta institusi-institusi lain. Tujuannya adalah bagi menarik penyertaan orang ramai dalam program dan aktiviti berkaitan pembacaan bagi menyuburkan minat membaca, memupuk kesedaran betapa pentingnya membaca sepanjang hayat, mengamalkan membaca dari pelbagai sumber bahan bacaan dan menjadikan membaca sebagai budaya.
Sehubungan dengan itu, JH telah dilantik oleh pihak sekolah untuk mengetuai Program NILAM dan mengharapkan JH agar dapat mempertingkatkan lagi program membaca di peringkat sekolah sekaligus dapat memenangi anugerah Tokoh NILAM peringkat kebangsaan. Aduh! Peningnya kepala. Namun begitu, seorang pelajar SMKADG telah berjaya melepasi syarat dan dapat mewakili daerah Marang ke peringkat negeri pada 23 dan 24 Januari ini. Harap-harap, pelajar ini ”menjadi” dan dapat menaikkan nama sekolah di peringkat negeri dan kebangsaan, imsyaAllah.
JH telah berbincang bersama rakan-rakan sekerja untuk memperkasakan lagi Program NILAM peringkat sekolah. Antara program yang difikirkan ialah program iqra', membaca bersama, ceramah buku, pertandingan bercerita, khemah membaca, pameran buku dan teater membaca. Wah! Sudah banyak program nampaknya, tetapi adakah JH berjaya laksanakannya dengan kekangan masa hambatan program akademik, HEM dan kokurikulum peringkat sekolah. Masa dan situasi mungkin yang akan menentukannya. Jika rakan-rakan ada cadangan bolehlah emel kepada JH – najman07@hotmail.com.
Sumbangan dan idea rakan-rakan amat dialu-alukan.

Friday, January 15, 2010

Merentas Desa

Tepat 6.30 pagi JH telah mula berlari melalui Pantai Batu Buruk, Jalan Pusara, Jalan Kamarudin dan akhirnya ke kawasan kampung dekat dengan SMK Padang Negara kerana semalam tak boleh berlari disebabkan sedikit demam. Hasil larian ini adalah 10km lebih. Larian ini bertujuan untuk melatih bagi mengiringi pelajar-pelajar SMKA DG yang akan mula menjalani latihan merentas desa minggu depan. Roti telur satu, roti kosong dua beserta teh tarik dan air suam merupakan hadiah larian pada pagi ini.

Thursday, January 7, 2010

Hari Pertama


Bagi seorang kanak-kanak yang belum mengerti cabaran alam persekolahan sebenarnya begitu seronok untuk menjejakkan kakinya ke sekolah. Apatah lagi ibu-bapanya telah membuat persiapan awal dan rapi dengan membeli segala peralatan dan keperluan untuk ke sekolah. Begitu juga yang dialami oleh ketiga-tiga orang puteriku, malam menjelangnya persekolahan masing-masing tak dapat lelapkan mata kerana sepanjang cuti mereka berjaga lewat malam dengan membaca dan menonton TV. Malam menjelangnya persekolahan masing-masing tidur awal tapi kejap-kejap bangun untuk melihat jam. Alangkah hampanya mereka apabila didapati lambat lagi nak pagi sebab tak sabar untuk menyarungkan uniform sekolah yang baru. Begitulah anak-anak zaman sekarang, sudah hampir tiada lagi perasaan takut untuk datang ke sekolah.

Sesungguhnya murid begitu bersemangat untuk ke sekolah maka diharapkan para guru juga hendaklah bersungguh di dalam menyampaikan pengajarannya di sekolah agar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.