Tuesday, September 9, 2008

authentic learning

“…..that authentic learning goes well beyond the passive intake of information to active engagement of the learner in producing or reproducing knowledge and understanding,” Discuss.


Merujuk kepada soalan di atas, ianya adalah berkisar tentang “authentic learning” yang mana dalam proses pengajaran & pembelajaran (P&P) ianya perlu dilaksanakan supaya pelajar dapat menguasai ilmu yang dipelajari dan difahaminya serta mengaplikasikannya
dengan baik apabila diperlukan melalui pelbagai perspektif dalam kehidupannya.

Oleh itu, kaedah pembelajaran “authentic” ini dilihat sebagai lebih moden yang mana menggalakkkan pelajar aktif dalam meneroka ilmu yang dipelajarinya. Berbanding dengan pembelajaran tradisional, pelajar agak pasif dalam proses P&P, yang mana mereka menerima ilmu sepenuhnya berdasarkan apa yang diajar oleh guru. Jadi sekira guru cetek ilmunya, maka pelajar akan terkena tempias. Ini kerana pelajar menghadam apa yang didapati dari suapan gurunya.

Menurut Thomas J. Sergiovanni, penulis buku “Supervision: A Redefinition”, telah berlaku perubahan dalam P&P apabila guru menggalakkan pelajar aktif menerima dan mengeluarkan kembali ilmu dan kefahamannya.

Apa yang saya fahami, perkataan “authentic” membawa maksud ‘genuine’, ‘true’ dan ‘real’. Jadi “authentic learning” merupakan atu pendekatan pedagogi yang memberi ruang kepada pelajarnya meneroka, berbincang, membina konsep dan hubungan yang melibatkan masalah sebenar di luar alam persekitaran sekolah iaitu alam sebenar pelajar.

Sekiranya pembelajaran itu “authentic” maka pelajar patut terlibat dalam pembelajaran sebenar (genuine learning) yang merangsang peluang untuk mereka membuat hubungan secara terus di antara pengetahuan yang baru dipelajari dengan pengetahuan lepas (sedia ada). Pengalaman yang dipelajari dalam pembelajarn “authentic” ini akan dapat meningkatkan lagi motivasi pelajar. Maka, pelajar patut mengetahui bahawa pencapaian kecemerlangan mereka bukan hanya berdasarkan di dalam kelas sahaja tetapi meliputi juga alam sebenar pelajar iaitu di luar sekolah.Jadi ketika berada di alam masyarakat luar, mereka dapat menghubungkaitkan dan mempraktikkan pengalaman-pengalaman yang diperolehi di kelas, pengetahuan, kepercayaan dan sikap ingin tahu mereka.

Pelajar yang melalui pembelajaran “authentic” tidak lagi semata-mata belajar menghafal fakta dalam bentuk abstrak atau situasi tidak nyata, tetapi mereka mendapat pengalaman dan menggunakan maklumat yang berkisar dengan alam nyata atau realiti.

Sebelum ini melalui kaedah pembelajaran tradisional P&P, selalu kedengaran keluhan daripada pelajar tentang pembaziran masa di sekolah kerana mereka tidak mampu menggunakan dan mengaplikasikan maklumat ataupun ilmu yang diperolehi di sekolah ke dalam kehidupan seharian. Selain itu, pelajar juga merungut bahawa mereka sebenarnya tidak memahami apa yang mereka pelajari. Bagi kebanyakan pelajar, pendidikan itu tidak lebih daripada latihan dan jawapan, yang mana tiada kaitan langsung dengan apa yang sepatutnya pelajar dapat.

Sebagai contoh, pembelajaran secara tradisonal di dalam kelas biasanya melibatkan pelajar membaca buku teks dan kemudiannya menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran subjek yang diajar. Contoh lain proses pembelajaran secara tradisional ialah dalam kelas matematik yang mana pelajar kebiasaannya disuruh menyelesaikan masalah matematik di dalam buku kerja. Walaubagaimanapun, sekira pelajar mengikuti pembelajaran secara “ autehentic” dalam subjek yang berkaitan dengan penyelesaian masalah contohnya berkenaan dengan pencemaran udara di bandar, suasana pembelajaran di kelas tersebut agak berbeza. Pelajar akan bekerja dalam kumpulan dan membahagi-bahagikan pelbagai tugas yang perlu disempurnakan dalam menyelesaikan isu sebenar dunia. Akan kelihatan kumpulan-kumpulan pelajar meneliti suratkhabar untuk mengumpul data berkenaan cuaca di tempat mereka, sementara kumpulan-kumpulan lain sibuk mencari maklumat di internet tentang pencemaran udara, manakala selebihnya mengumpul data berkenaan dengan populasi penduduk bandar. Di sini, jelas kelihatan bahawa pembelajaran “authentic” patut dilaksanakan dan diamalkan oleh semua guru dalam proses P&P.

Di dalam buku yang dikarang oleh Sergiovanni, beliau ada menyatakan tentang kajian terkini menunjukkan bahawa pembelajaran “authentic” tidak akan berlaku sekiranya pelajar tidak memahami ilmu yang dipelajarinya. Pembelajaran “authentic” dikatakan berlaku apabila pelajar dapat menguruskan ilmu yang diperolehinya ke dalam bentuk atau kategori yang lebih bermakna. Sebagai contoh, seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dianggap telah melalui pembelajaran “authentic” apabila pelajar tersebut telah dapat memberi tazkirah (renungan, ingatan & nasihat) kepada kawan-kawan sekelasnya sewaktu ketiadaan gurunya di dalam kelas. Seterusnya pembelajaran “authentic” juga dianggap telah berlaku sekiranya pelajar dapat menerangkan ilmu yang diperolehi dari pelbagai perspektif ataupun konteks. Sebagai contoh, pelajar tingkatan satu telah mempelajari sajak Bahasa Inggeris bertajuk Llife Brief Candle” mampu mengaitkan sajak tersebut dari sudut subjek pendidikan Islam, denagn mengatakan bahawa Allah menjadikan manusia di bumi ni hanyalah sementara, tidak akan kekal lama samalah seperti riwayat lilin yang hanya sementara. Selain daripada itu pelajar tersebut juga boleh mengaitkan sajak tersebut dengan kehidupan harian yang mana peluang yang diberi kepada manusia untuk meraih kejayaan dalam apa jua bidang haruslah diambil kerana hayat manusia tidak lama di dunia ini.

Seterusnya, penulis juga ada menyebut tentang pembelajaran “authentic” berlaku apabila pelajar dapat memberi pelbagai contoh, dapat menggunakan kefahaman tentang ilmu yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah.

Penulis juga menyebut kefahaman pelajar akan menjadi lebih matang apabila ianya dapat dihubungkan ke dunia di luar persekitaran sekolah (alam masyarakat). Juga apabila ianya boleh digunakan untuk menerang atau meneroka isu-isu dalam komuniti masyarakat, dan apabila pelajar dapat berbincang dengan mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan orang dewasa. Sebagai contoh pelajar mampu berbincang dengan golongan dewasa dalam masyarakat tentang masalah sosial, alam sekitar dan sebagainya berdasarkan pengetahuan yang diperolehinya di dalam kelas seperti di dalam subjek Sivik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan sebagainya untuk menyumbangkan idea atau pendapat , cadangan , kritikan penyelesaian dalam perbincangan isu sosial.

Kesimpulannya, pembelajaran “authentic” seperti yang diutarakan oleh Sergiovanni dalam bukunya memberi penekanan kepada proses pengajaran guru untuk mewujudkan dan menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar dalam menarik minat pelajar untuk belajar secara aktif dengan menerima ilmu, meneroka ilmu dengan pelbagai pertanyaan dan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dari pelbagai perspektif. Selain itu, pelajar juga akan terlibat dengan proses penerimaan ilmu yang agak kompleks dan menggunakan aras kemahiran berfikir yang tinggi seperti membuat analisa, sintesis, merancang, memanipulasi dan menilai maklumat atau ilmu yang dipelajari. Ini kerana berlaku pembaharuan dalam pendidikan untuk lebih memberi penekanan kepada apa yang pelajar ketahui, faham dan dan bagaimana apelajar mengaplikasikannya dari pelbagai aspek bukan sahaja di sekolah bahkan di luar persekitaran sekolah.Ini bermakna prose pembelajaran memberi penekanan kepada apa yang harus dicapai dan diperolehi oleh pelajar. Ia juga selaras denagn Wawasan 2020 yang mahu mewujukan masyarakat yang dinamik, kreatif, progresif dan penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

No comments: