Berita Harian bertarikh 2 Februari 2010 - SBT KENA DIPANTAU ELAK JADI SEKOLAH KAPITALIS
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat “Mohamad Asri Shafii, Exco Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak”, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Berita Harian bertarikh 2 Februari 2010 (SBT KENA DIPANTAU ELAK JADI SEKOLAH KAPITALIS).
Kuasa autonomi diberi kepada Pengetua/Guru Besar secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan sekolah. Mereka akan dipantau, dibimbing dan dinilai dari semasa ke semasa dengan fokus kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) ke arah trend menaik, oleh pihak Bahagian, JPN dan PPD. Jabatan Pelajaran Negeri adalah kuasa pendaftar yang bertanggungjawab atas sekolah-sekolah di negeri masing-masing. Pengetua/Guru Besar khasnya Pengetua-Pengetua/Guru Besar-Guru Besar di SBT ini, tahu bidang kuasa masing-masing dan akur akan punca kuasa yang ada. Kelonggaran diberi dalam hal-hal pelaksanaan asalkan tidak berlaku violation, incompetence dan negligence dalam pelaksanaan dasar tersebut. Pihak Bahagian, JPN dan PPD bertanggungjawab memberikan bimbingan yang diperlukan oleh pihak sekolah.
Pelajar yang lemah/kurang cemerlang tidak dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT. Pengambilan murid ke SBT mengikut dasar yang sedia ada. Antara sekolah harian yang terpilih sebagai SBT ini adalah sekolah kluster yang muridnya mempunyai tahap pencapaian normal (biasa), tetapi pencapaian mereka dapat ditingkatkan melalui tunjuk ajar guru yang rajin, bersikap professional, positif dan bantuan dari ibu bapa yang mempercepatkan murid menguasai 3M.
Dasar pendidikan Negara akan terus disuburkan. Dalam pelaksanaan sekolah kluster perkara ini sudah terbukti. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tetap dipatuhi oleh sekolah-sekolah. Ketidakpatuhan akan FPK dianggap sebagai violation yang serius. Pengetua/Guru Besar mesti berupaya menterjemahkan FPK dalam proses pendidikan di sekolah masing-masing.
SBT akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis kerana pembiayaan yang tinggi dan tidak dapat dipenuhi oleh keluarga yang perpendapatan rendah mungkin tinggal sebagai satu andaian, kerana bayaran-bayaran yang akan dikenakan atas murid perlu mendapat persetujuan dalam mesyuarat PIBG terlebih dahulu. Manakala yuran sekolah pula perlu mendapat kelulusan daripada pihak JPN sebelum dikutip.
Secara rumusannya, Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua/Guru Besar SBT tidak akan menjejaskan kewibawaan JPN dan PPD. Dasar KPM yang sedia ada akan terus dipatuhi. Pemantauan, bimbingan dan penilaian akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak Bahagian, JPN dan PPD ke atas SBT, dengan fokus utama ke arah peningkatan prestasi P&P di sekolah. Insya’allah, atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak SBT tidak akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
5 FEBRUARI 2010
16 Mac 2024 Medina Day 76
8 months ago
No comments:
Post a Comment