Friday, December 24, 2010

SS Gemilang Lagi!!!

Tanggal 23 Disember 2010 keputusan PMR diumumkan diseluruh negara. Sebelum pengumuman berkenaan nampaknya para pendidik juga mengalami "panas-sejuk" memikirkan keputusan anak didik masing-masing. Begitu juga para ibu-bapa apatah lagi murid berkenaan, sudah tentulah suhu "panas-sejuk" lebih tinggi lagi. Namun sekarang semuanya sudah terungkai - Nampaknya SMK Sultan Sulaiman terus gemilang apabila 115 orang daripada 257 murid mendapat semua A dalam mata pelajaran. Jika ditinjau berdasarkan kedudukan SS diperingkat negeri - Berdasarkan semua A = Tempat ke enam
Berdasarkan GPS = Tempat ke tiga belas
Peratus pelajar yang mendapat semua A meningkat sebanyak 44.75 % jika dibandingkan dengan tahun lepas hanya sekadar 79 murid yang mendapat semua A dalam matapelajaran yang diambil.
Walau bagaimanapun ucapan sekalung tahniah buat kumpulan pengurusan sekolah, barisan pendidik, kakitangan kerajaan/swasta dan syabas buat murid PMR tahun 2010 yang telah menaikkan nama sekolah diperingkat negeri serta kebangsaan.Persoalannya bagaimanakah langkah terbaik untuk mengekalkan prestasi dan meningkatkan lagi jumlah semua A dalam matapelajaran pada tahun 2011? Saya tanya, anda jawab....,

Sunday, November 28, 2010

Majlis Graduasi 2010


SMK Sultan Sulaiman telah mengadakan majlis graduasi yang melibatkan pelajar-pelajar yang berpotensi cemerlang SPM dan STPM. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan peperiksaan percubaan 2010. Majlis kali ini melibatkan seramai 267 orang pelajar SPM dan 45 orang pelajar STPM.


Penjual Cenderamata dalam kalangan pelajar

Objektif utama Majlis Graduasi ini adalah sebagai motivasi kepada semua pelajar khususnya pelajar-pelajar SPM dan STPM dan galakan kepada pelajar-pelajar tingkatan empat dan enam bawah untuk berusaha mencapai kecemerlangan dan tersenarai dalam majlis-majlis graduasi akan datang.

Sambutan begitu hangat sekali, nampaknya semua pelajar membawa keluarga masing-masing untuk sama-sama meraikan kemeriahan kejayaan yang telah dikecapi dalam peperiksaan percubaan 2010.


Barisan Pendidik SS

Majlis ini telah diadakan di Taman Tamadun Islam(TTI). Dahulu kawasan Taman Tamadun Islam merupakan tempat Jubah Hitam mencari ketam batu untuk dibuat "belaga" tetapi sekarang tak sangka pula TTI menjadi begitu gah dan tersohor diperingkat negara dan antarabangsa. Itulah kudrat dan iradat Allah S.W.T

Dewan Besar TTI

Thursday, November 18, 2010

Salam Idiladha



Alhamdulillah! Idiladha kembali lagi. Pada 17 Nov. 2010 keadaan cuaca di Terengganu begitu baik sekali menyebabkan sambutan Idiladha tahun ini begitu meriah dan ceria sekali. Jubah Hitam juga tidak ketinggalan untuk melaksanakan syariat Islam iaitu turut menyertai program korban yang dianjurkan oleh keluarga terdekat. Sambutan Idiladha di kawasan Kuala Terengganu amat meriah, boleh dikatakan setiap kampung ada program korban. Namun harus diingat agar program korban itu bertepatan dengan syariat Islam bukannya menjadi adat tradisi keluarga apabila bertemu dengan Hari Raya Idiladha.Mudahan dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur dapat bertemu lagi Idiladha pada tahun hadapan. InsyaAllah.

Thursday, September 30, 2010

Hari-Hari Terakhir Seorang Pengarah


Sejak akhir-akhir ini warga pendidik Negeri Terengganu banyak didedahkan dengan Majlis Bersama Pengarah. Semalam, 29 September 2010, Majlis pengarah bersama pengurusan sekolah daerah Kuala Terengganu. Pada majlis berkenaan Tuan Pengarah banyak menceritakan tentang perkhidmatan beliau pada masa lampau serta menurunkan beberapa ilmu penting tentang pentadbiran untuk diamalkan oleh pihak pengurusan sekolah. Rekod Tuan Pengarah begitu cemerlang sekali sehingga memartabatkan Negeri Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu. Kemungkinan rekod Tuan Pengarah dalam mengemudi akademik Negeri Terengganu sukar dipecahkan terutamanya dalam keputusan UPSR terbaik selama 9 tahun berturut-turut disamping peningkatan ketara dalam peperiksaan awam PMR,SPM dan STPM. Namun begitu aspek-aspek lain seperti sahsiah serta kokurikulum tidak dikesampingkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sejarah Perkhidmatan Tuan Pengarah
Bil Gelaran Tempoh Perkhidmatan
1 Guru Penolong 01.05.1976 - 31.03.1988 (11 Tahun 10 Bulan)
2 Penyelia Petang / Penolong Kanan Hem 01.04.1988 - 15.05.1993
3 Pengetua 16.05.1993 - 15.12.2003
4 Pegawai Pelajaran Di Daerah Setiu 16.12.2003 - 15.10.2004
5 Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan 16.10.2004 - 30.04.2006
6 Ketua Sektor, SPPK (Timbalan Pengarah)1.05.2006 - 1.4.2007
7 Pengarah 02.04.2007 - 09.10. 2010

Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberi hidayah dan kesihatan yang baik kepada Tuan Pengarah Haji Ariffin bin Haji Embong S.M.T. , A.M.N. , P.J.C. , P.J.K.

Tuesday, September 14, 2010

Beri kuasa polis bebankan guru – NUTP

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Saranan agar guru disiplin diberi kuasa polis
tambahan tidak akan mampu membendung masalah disiplin pelajar di sekolah
sebaliknya memberi bebanan baru kepada guru terlibat.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim
Adnan berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar menyelesaikan masalah
disiplin pelajar.
Menurutnya, malah mereka perlu mendidik dan berperanan sebagai ibu bapa
dengan menasihati serta membimbing pelajar agar menjadi manusia berguna.
"Tanggungjawab yang dipikul oleh guru-guru pada hari ini amat berat dan tidak
wajar sekiranya mereka terpaksa menggalas tanggungjawab baru pula iaitu polis
tambahan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.
"Kita tidak mahu nanti tugas guru yang lebih penting iaitu mengajar terpaksa
dikesampingkan akibat memikul tanggungjawab lain. Ibarat yang dikejar tak
dapat yang dikendong berciciran pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas saranan Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam
Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen yang menggesa kerajaan
mengkaji pemberian kuasa polis tambahan kepada guru disiplin bagi
menghindari pengaruh samseng di sekolah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina
berkata, saranan tersebut tidak mampu mengubah sikap pelajar yang tidak
berdisiplin menjadi lebih baik malah ia menyebabkan pelajar tidak menyenangi
guru mereka.
"Sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak mampu dilaksanakan
dengan baik jika saranan itu diwujudkan kerana pelajar akan kurang
menghormati tetapi berasa takut terhadap guru-guru mereka.
"Tidak sepatutnya tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar
diletakkan di bahu guru sahaja. Seharusnya semua pihak iaitu pengetua, guru,
pelajar, ibu bapa dan masyarakat bekerja sebagai satu pasukan bagi menangani
masalah tersebut," katanya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional
(PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan pula mengalu-alukan
saranan tersebut dan mencadangkan diwujudkan jawatan baru bagi menangani
masalah disiplin pelajar.
"Perlu diwujudkan satu jawatan baru iaitu penolong kanan disiplin bagi
menyelaras dan memantau hal-hal berkaitan disiplin pelajar serta guru-guru di
bawah penyeliaan guru besar atau pengetua.
"Perlindungan undang-undang juga wajar disalurkan kepada guru-guru ini bagi
mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi seperti dicederakan atau
disaman," katanya.
Tambahnya, sebelum membenarkan mereka menjalankan tugas dalam
membendung masalah disiplin pelajar, guru-guru tersebut perlu diberikan latihan
dan penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Thursday, July 29, 2010

SS Mengukir Sejarah




Tanggal 24 Julai 2010, satu lagi sejarah buat SMK Sultan Sulaiman (SS) kerana telah dikunjungi oleh Ketua Negara Malaysia iaitu DYMM YDP Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Permaisuri serta anakanda-anakanda baginda beserta kaum kerabat dan teman-teman baginda. Pelajar-pelajar sekolah telah bersiap-sedia sejak pukul 7.00 pagi lagi dengan berpakaian uniform. Guru-guru semuanya sibuk dengan tugas masing-masing. JH juga telah diberi taklimat tentang adat istiadat dan aspek-aspek keselamatan. Banyak pengalaman baru yang diperolehi hasil kedatangan YDP Agong. YDP Agong datang tepat pukul 11.00 pagi dengan bersalaman dengan semua pihak pengurusan sekolah dan teman-teman baginda. YDP Agong dibawa ke bilik istirehat dan pihak pengurusan sekolah telah diberi perkenan untuk bergambar dengan Tuanku. Selepas itu Tuanku menyaksikan pelbagai persembahan rakyat jelata dengan diiringi brassband SS. Kemudian baginda dibawa masuk ke Dewan Gemilang dan dipersembahkan dengan pasukan gamelan beserta artis-artis dari kalangan pelajar-pelajar SS. JH juga berpeluang makan bersama-sama Agong dalam dewan berkenaan. Selepas baginda bersantap maka tibalah waktu pulang dan JH sempat bersalam dengan Tuanku untuk kali kedua. Walaupun letih membuat persiapan sambutan Diraja, namun segala penat lelah berbaloi apabila melihat YDP Agong sentiasa senyum semasa berada di bumi SS. Menjunjung Kasih Tuanku!


Barisan Pengurusan Sekolah


Perbarisan Menunggu Ketibaan Tuanku


Laluan Diraja


Bilik Pengawas Ditukar Menjadi Bilik Diraja


He..He..He..

Friday, July 23, 2010

Menjelang Keberangkatan

Menjelang keberangkatan DYMM Agong dan Permaisuri ke SMK Sultan Sulaiman pada 24 Julai 2010 telah mengubah 50 % wajah SMK SS. Seminggu menjelang keberangkatan tiba baginda menyaksikan keadaan persekitaran sekolah yang begitu sibuk dengan gurunya, muridnya serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, JKR, JPP, TNB, Telekom, Kontraktor (sekadar menyebut beberapa pihak) tak kurang juga alumni SS78 yang menganjurkan majlis berkenaan. Setiap hari JH tak senang duduk didatangi pihak keselamatan, pihak Istana Negara, Istana Negeri, protokol SUK, Pengarah Pelajaran untuk meninjau persiapan sekolah bagi menyambut Tuanku. Menjelang dua hari sebelum keberangkatan Tuanku, tak kurang dari RM 200.000 telah dibelanjakan bagi mencantikkan lagi persekitaran sekolah. Itulah tuah SMK SS pada tahun 2010. Baju korporat sekolah yang ditempah telah siap untuk semata-mata bergambar bersama Tuanku (pihak pengurusan sekolah dan AJK alumni SS78 sahaja yang dibenarkan). Suatu pengalaman berharga buat JH semasa bertugas di SMK SS.

Friday, July 9, 2010

Benchmarking


Ketua Sektor Jaminan Kualiti menyampaikan cenderamata kepada Pengetua JUSA

Sektor Pengurusan akademik, JPNT dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu telah melaksanakan program benchmarking sebagai sebahagian dari usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan negeri selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Terengganu untuk menzahirkan "Terengganu Anjung Ilmu". Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan serta perkongsian ilmu dan maklumat kepada sekolah-sekolah terpilih untuk merealisasikan Sekolah Berprestasi Tinggi di negeri Terengganu.

Program ini bermula pada 4 - 6 Julai 2010. Sekolah yang dipilih ialah SMK Aminuddin Baki dan Kolej Islam Sultan Ahmad Shah (KISAS). Rombongan ini juga turut disertai oleh semua ketua sektor, semua Pegawai Pelajaran Daerah, Sebahagian besar pegawai di JPNT serta beberapa buah sekolah yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi termasuk SMK. Sultan Sulaiman.


JH bersama Pengetua JUSA


JH bersama Pegawai Tatatertib JPNT Terengganu


Bergambar kenangan dengan Pengetua KISAS

Mudah-mudahan segala ilmu dan teknik pengurusan di sekolah terbabit akan dapat diaplikasi ke sekolah SMK Sultan Sulaiman dan seterusnya dapat menobatkan SMK Sultan Sulaiman sebuah sekolah Berprestasi Tinggi di Terengganu suatu hari nanti. InsyaAllah!

Wednesday, June 30, 2010

Pertandingan Mr Gym Rakyat 2010




Tanggal 10 Jun 2010, Pejabat Belia Kuala Terengganu telah melantik JH untuk menjadi pengurus bagi mengelola peserta-peserta yang akan bertanding dalam pertandingan Mr. Gym Rakyat 2010 bagi pihak Negeri Terengganu.JH telah bertolak ke South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor pada 11 Jun dan menginap di Kolej 12, Universiti Putra Malaysia. Kategori yang dipertandingkan ialah :
i. Berat Badan Atas 75kg
ii. Berat Badan 65kg – 75kg
iii. Berat Badan Bawah 65kg
iv. Kategori Bakat Baru
v. Kategori Junior (Umur bawah 21 tahun)

Peserta yang bertanding hanyalah 3 orang sahaja, manakala yang dapat ke pusingan akhir hanya 2 orang sahaja. Walaupun tidak menjadi johan, namun peserta-peserta telah didedahkan dengan pengalaman naik ke pentas dengan muka selamba sahaja. kahkahkah

Sunday, June 6, 2010

Sejarah Futsal


Futsal diciptakan di Montevideo, Uruguay pada tahun 1930, oleh Juan Carlos Ceriani. Keunikan futsal mendapat perhatian di seluruh Amerika Selatan, terutamanya di Brasil. Ketrampilan yang dikembangkan dalam permainan ini dapat dilihat dalam gaya terkenal dunia yang diperlihatkan pemain-pemain Brasil di luar ruangan, pada lapangan berukuran biasa. Pele, bintang terkenal Brasil, contohnya, mengembangkan bakatnya di futsal. Sementara Brasil terus menjadi pusat futsal dunia.
Pertandingan internasional pertama diadakan pada tahun 1965, Paraguay menjuarai Piala Amerika Selatan yang pertama. Enam perebutan Piala Amerika Selatan berikutnya diselenggarakan hingga tahun 1979, dan semua gelaran juara disapu bersih oleh Brasil. Brasil meneruskan dominasinya dengan meraih Piala Pan Amerika pertama tahun 1980 dan memenangkannya lagi pada perebutan berikutnya tahun pd 1984.
Kejuaraan Dunia Futsal pertama diadakan atas bantuan FIFUSA (sebelum anggota-anggotanya bergabung dengan FIFA pada tahun 1989) di Sao Paulo, Brasil, tahun 1982, berakhir dengan Brasil di posisi pertama. Brasil mengulangi kemenangannya di Kejuaraan Dunia kedua tahun 1985 di Spanyol, tetapi menderita kekalahan dari Paraguay dalam Kejuaraan Dunia ketiga tahun 1988 di Australia.
Futsal SMKADG pula bermula penubuhannya pada 1 Jun 2010. Visinya pula akan menjuarai daerah Marang pada 2012. Tunggu dan lihat!!

Friday, May 21, 2010

Keagongan Allah S.W.T

Subhanallah!!!!!!!!!!!











Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nyalah segala puji ...di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nyalah segala penentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.
[Al Qashash:70]

Friday, April 30, 2010

Gagasan 1 Malaysia


Gagasan 1Malaysia merupakan konsep unik yang perlu diterima oleh semua pihak di negara sebagai lambang komitmen dan usaha oleh rakyat demi mencpai yang terbaik untuk negara. Perdana Menteri berkata ia sangat berbeza dengan konsep satu negara yang diamalkan di negara lain yang mengutamakan keadilan sosial buat semua kaum dan penduduknya. simbol 1Malaysia merupakan jenama hebat yang perlu disayangi oleh rakyat. simbol itu sangat unik kerana menggunakan nombor satu yang dimasukkan dengan bendera Malaysia.
Bagi menyemarakkan lagi kempen gagasan 1Malaysia kerajaan perlu memperbanyakkan aktiviti yang boleh melibatkan pelbagai kaum seperti kebudayaan dan permainan untuk dilaksanakan disetiap peringkat masyarakat 1Malaysia. Pemimpin perlu turun padang melihat sendiri permasalahan rakyat setiap kaum tanpa mementingkan status pemimpin itu sendiri. Dengan itu semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih daripada sekarang dalam mewujudkan perpaduan kaum.

Wednesday, April 28, 2010

Tanda-Tanda Penyakit

MATA – Bertindak balas dengan keadaan hati.

Mata menjadi merah: Hati mengandungi paras toksin yang tinggi. Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan toksin.

Mata menjadi kabur: Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan proses penyeimbangan hati sedang berlaku.

Keluar tahi mata: Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang berlaku. Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.

Keluar air mata: Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau bebanan kerja.

Ketegangan mata dan kelopak: Tekanan perasaan kerana tidak puas hati atau bebanan yang berat.



HIDUNG – Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.

Selsema
Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong.

* Badan mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).

Hidung sebu

* Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.
* Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

Bersin

* Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
* Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

Batuk

* Batuk keluar kahak: Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
* Batuk tanpa kahak: Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan. Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG.
* Batuk dan berasa gatal di kerongkong: Proses membuang toksin di bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.



KERONGKONG
Kerongkong kering: Proses membuang toksin sedang berlaku di seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak air untuk membuang toksin.
Sakit kerongkong: Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.

BIBIR. Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman.
Bibir pucat

* Sistem penghadaman yang lemah.
* Perut mengandungi angin.
* Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.

Bibir kering dan pecah: Perut mengandungi banyak bahan toksin.

MULUT DAN LIDAH: Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem Pengedaran darah.
Lidah atau gusi bengkak, sakit: Menunjukkan jantung mempunyai masalah seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran koronari tersumbat dan lain-lain lagi.
Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser): Menandakan darah mengandungi asid berlebihan.
Mulut berbau busuk: Proses penyeimbangan fungsi perut untuk pembuangan toksin.

TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.
Telinga terasa tersumbat: Buah pinggang mengandungi toksin berlebihan.
Telinga berdengung: Sedang merawat buah pinggang yang lemah. Biasanya tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah berjalan-jalan.

KULIT
Peluh

* Peluh masin: Badan mengandungi lebihan asid urik.
* Peluh berbau: Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.

Ruam & Bisul: Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.
Kulit Gatal Dengan Ruam: Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.
Kulit Pecah & Berair: Proses pembuangan toksin yang larut dalam air. Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.
Rambut Gugur: Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI
Sendi Sakit

1. Rasa panas: Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan tanda-tanda penyakit pirai (gout).
2. Tidak rasa panas: Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism).
3. Sakit di bahagian bahu: Menandakan saluran darah telah menjadi keras dan fungsi metabolisme tidak seimbang.

Kebas Tangan: Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.
Kebas Tangan Kiri & Lengan: Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jikarasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana, ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.
Kebas Kaki: Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.
Sakit Tapak Kaki: Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
Sakit Tumit Kaki: Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.
Rasa Panas di Tapak Kaki: Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.
Gatal di Celah-Celah Kaki: Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).

TANDA-TANDA DALAMAN
Kepala. Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.
Pening/Sakit di Bahagaian Depan Kepala: Menandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.
Pening/Sakit di Bahagaian Belakang Kepala:

* Bahagian atas: Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.
* Bahagian bawah (tengkuk): Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi atau tekanan darah.

Sakit Kepala & Rasa Gas Keluar Dari Telinga: Menandakan penyakit migrain.
Bisuk di Kepala: Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.
Rasa Pening yang Memusing: Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.

MULUT/KERONGKONG
Loya/Muntah: Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.
Muntah Darah:

* Darah merah: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong.
* Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut;misalnya penyakit ulser.

Lidah Rasa Tegang & Pendek: Tanda sakit jantung.
Keluar Air Liur Pekat: Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibatjangkitan kuman

KENCING
Kencing Kerap: Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran.
Air Kencing Berkapur: Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.
Air Kencing Berminyak: Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran berlemak.
Air Kencing Pekat Bewarna Coklat: Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.
Air Kencing Berdarah: Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.

BUANG AIR BESAR
Cirit-Birit/Kerap Buang Air Besar: Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.
Sembelit: Membersihkan toksin dari usus kecil.
Najis Berdarah:

* Darah merah: Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.
* Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.

Najis Bewarna Hitam: Menunjukkan proses pembuangan toksin di bahagian usus.

TINDAK BALAS BADAN
Badan Rasa Sakit: Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran.

1. Sakit menyucuk: Proses menyeimbangkan urat saraf.
2. Sakit sengal: Menandakan luka di dalam badan.
3. Sakit menyentap: Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan dengan organ-organ badan.
4. Sakit menegang : Proses melancarkan pengaliran darah.

Badan Terasa Berat/Malas/Lenguh: Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan
Badan Terasa Panas: Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.
Badan Terasa Ringan: Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.

TINDAK BALAS EMOSI
Rasa Takut Mengejut: Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.
Cepat Naik Darah/Marah: Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.
Rasa Bimbang & Takut: Sistem paru-paru yang lemah.
Rasa Seronok atau Bimbang Tanpa Sebab:

* Sistem jantung yang lemah.
* Sistem saraf otak yang lemah.
* Masalah pengaliran darah.

Suka Berfikir & Berkhayal: Sistem penghadaman yang lemah.

Wallahu a’lam

Thursday, April 22, 2010

Tahniah!


Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan Speech Choir SMKADG kerana segala usaha keras sudah menampakkan hasilnya.Pasukan speech choir SMKADG telah menjadi juara bagi daerah Marang. Misi seterusnya adalah untuk merebut juara negeri pula. Mudahan usaha pasukan speech choir akan berhasil.

"After three months of practising for speech choir competition, now we are glad to say that we are the winner!! Now we are representing our district to perform in the state level...Tq sooo much to my teammate, Miss Julia Shireen and my speech choir team members!! Without your full commitment and cooperation, maybe we do not manage to get it!! Now we must struggle hard for our next mission...tq for the support given..." ~ Miss Adila

Tuesday, April 20, 2010

Tokoh Nilam Bulan Mac


Program NILAM (NADI ILMU AMALAN MEMBACA) merupakan program galakan membaca yang dijalankan di SMKADG. Pelajar yang paling banyak membaca akan dinobatkan sebagai tokoh NILAM bulanan. Tokoh NILAM pada bulan MAC 2010 disandang oleh Nur Imanina Liyana bt Mohammad Johari dari kelas 2 Bukhari (Kategori SMR). Bagi kategori SMA pula disandang oleh Nurul Hidayah Bt Mamat dari kelas 4 AL-Ghazali. Pemenang akan diminta menyampaikan Ucapan (bicara bulanan) dan diberi hadiah beserta sijil. Tahniah kepada pemenang-pemenang Tokoh NILAM Bulan MAC 2010.Matlamat program NILAM bagi melahirkan pelajar-pelajar SMKADG yang berpengetahuan dan bermaklumat.

Wednesday, April 14, 2010

Latihan Menembak Kadet Polis



Tanggal 12 April seramai 10 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan SMKADG telah terpilih untuk menyertai latihan menembak yang diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong. Seawal jam 7.15 pagi rombongan kami telah bertolak dengan menaiki trak polis. Latihan yang diadakan itu berakhir lebih kurang pukul 3.00 petang. Para pelajar didapati begitu teruja kerana menembak merupakan pengalaman pertama bagi pelajar-pelajar. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada PDRM kerana sudi menganjurkan latihan seperti itu.


Para pelajar sedang mendengar taklimat sebelum bertolak


Para pelajar sedang mencari sasaran


Penembak tepat

Thursday, April 8, 2010

Kemeriahan Minggu Pendidikan Islam

Minggu Panitia Pendidikan Islam SMKADG telah berlangsung pada 4 - 8 April 2010. Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi mengukuhkan pengetahuan pelajar semasa belajar dalam kelas. Aktiviti berbentuk amali ini didapati begitu menyeronokkan pelajar-pelajar. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Amali Sembelihan, Haji serta Tawaf, Pengurusan Jenazah, Ceramah Agama dan pelbagai aktiviti lain yang begitu menarik. Tahniah diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam.


Tuan Pengetua merasmikan acara penyembelihan


Kaedah penyembelihan yang betul


Jenazah sedang dikafankan


Jenazah wanita


Tawaf di "kaabah jadian"


Mudahan mendapat Haji Mabrur

Wednesday, April 7, 2010

PELAJAR RINDU PUJIAN GURU

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.

Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Wednesday, March 24, 2010

Makanan haram, adakah perlu paksa dihalalkan?

Jika kopitiam tiada sijil halal, kenapa perlu paksa?

MENGAPA kita perlu risau sekiranya pengusaha kopitiam tidak ingin memohon sijil halal Jakim.

Bagi saya itu adalah hak mereka sama ada untuk memohon atau tidak. Mereka mungkin tidak menyasarkan atau mengharapkan pelanggan Islam, buat apa kita beria-ia nak ke sana?

Mungkin juga mereka menyediakan makanan tidak halal. Jadi apa perlunya bagi mereka mendapatkan sijil halal? Seperti mana kedai makanan Cina adakah kita perlu memaksa mereka untuk mendapatkan sijil halal?

Tidak perlulah bagi umat Islam pergi menjamu selera di situ. Adalah amat memalukan jika kita mendesak mereka mendapatkan sijil halal.

Adakah ia satu keperluan yang mendesak untuk kita ke kopitiam? Banyak lagi kedai makanan Islam yang ada yang kita tak perlu risau dan ragu.

Atau adakah dengan tidak dapat ke kopitiam kita akan mati kelaparan? Masalah kopitiam ini adalah masalah orang Melayu elit.

Dalam keghairahan kita memberi sijil halal kepada pengusaha makanan bukan Islam secara tidak langsung, kita telah memberi saingan kepada pengusaha Islam untuk berniaga.

Adakah tidak cukup makanan keluaran orang Islam di pasaran sehinggakan kita terpaksa memaksa pengeluar bukan Islam membuat dan menyediakan makanan untuk kita dan memaksa mereka untuk mendapatkan sijil halal?

Adakah orang Islam tidak mampu menyediakan makanan untuk orang Islam sendiri?

Jakim juga tidak perlu berlembut dan tunduk kepada desakan pengusaha-pengusaha kopitiam ini yang mengatakan syarat Jakim terlalu ketat.

Sekiranya susah untuk memohon mereka tidaklah perlu memohon dan orang Islam tak perlulah makan minum di situ.Juga janganlah pamerkan sijil halal palsu

Wednesday, March 17, 2010

Warna -Warni Sambutan Maulidur Rasul


Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 yang bertemakan 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah' disambut meriah dengan penyertaan 106 kontinjen perarakan melibatkan 6,979 orang peserta.
Uniknya pada tahun ini, selepas perarakan berlangsung bermula di Istana Kehakiman hingga ke Dataran Putra, majlis diteruskan di Masjid Putra sebagai simbolik bagi mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah kepada umat Islam
SMKADG juga turut mengadakan sambutan maulidur Rasul pada 11 Mac 2010. Perarakan Maulidur rasul kali ini dimeriahkan lagi dengan pertandingan sepanduk dan perarakan terbaik. Hampir 1000 orang pelajar terlibat dalam perarakan ini. Pelajar dibahagikan mengikut unit beruniform masing-masing. Majlis yang sepatutnya bermula pada jam 8.00 pagi terpaksa ditunda jam 9.00 pagi kerana hujan lebat pada permulaannya. Perarakan memakan masa lebih kurang satu jam. Selepas majlis perarakan diadakan, majlis ceramah Maulidur Rasul di surau sekolah pula diadakan. Seterusnya pada peringkat akhir diumumkan johan pertandingan kontigen terbaik dan sepanduk terbaik dalam acara perarakan Maulidur Rasul berkenaan.


Sebelum Perarakan


Persiapan Akhir Setiap Kontigen


Perarakan Bermula.

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL!

Wednesday, March 10, 2010

Majlis Temu Murni 2010


Kedatangan para pelajar bersama ibu bapa

SNKADG telah mengadakan majlis temu murni dengan ibu dan bapa pelajar pada 10 Mac 2010. Majlis ini bermatlamat mahu merapatkan lagi hubungan para guru dan ibu bapa pelajar.Para ibu dan bapa pelajar diberi penerangan tentang pencapaian TOV dan ETR pelajar. Disamping itu juga diberi penerangan tentang 27 program berkala yang akan dilaksanakan oleh warga kerja PMR SMKADG tidak termasuk kelas-kelas tambahan. Nampaknya para ibu dan bapa pelajar berpuas hati dengan program yang diterangkan kepada mereka dan prestasi anak-anak mereka. Selepas program Temu Murni berakhir maka dilaksanakan pula program Rakan Dinamik. Program Rakan Dinamik ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran menjadi "guru muda" bagi membantu pelajar-pelajar lain dalam pelajaran. Para pelajar yang terlibat dalam program ini adalah daripada kalangan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan TOV PMR, SPM, dan STPM.



JH sedang memberi penerangan kepada salah seorang bapa pelajar



Pelajar yang terpilih sebagai "guru muda" dalam program Rakan Dinamik



Ikrar para pelajar PMR